10 September 2009

CEMBURU

Sifat cemburu pada dasarnya tidak membawa apa2 kebaikan malah keburukan kepada kita. Kita selaku manusia biasa, memang agak sukar untuk membuang 100% sifat cemburu dari terus mendiami hati. Oleh itu, lempiaskan sifat cemburu ini pada 2 jenis keadaan sahaja berdasarkan kepada hadith Rasulullah sallahu alayhi wasalam dari kitab Sahih Muslim ini:

"Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang; iaitu pada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia."

Berdasarkan satu hadis Rasulullah, yang diriwayatkan oleh Aishah sendiri

‘ Pada suatu hari Aishah isteri baginda bertanya kepadanya, kata beliau: “Wahai Rasulullah, mengapakah engkau sentiasa saja menyebut nama Khadijah? Bukankah Khadijah itu hanya seorang nenek dan bukankah Allah gantikan dia dengan seorang yang lebih baik (maksud Aishah ialah dirinya sendiri)?”

Jawab Rasulullah: “Tidak, bahkan tidak ada pengganti Khadijah. Dia beriman kepadaku pada saat orang lain ingkar terhadapku, dia menyintai aku di saat orang lain membenciku, dia membenarkan aku ketika orang lain mendustakan aku. Allah tidak mengurniakan anak kepadaku dengan isteri lain selain Khadijah.”

Pengajaran daripada hadis di atas amat mendalam sekali.

1. Rasa cinta, kasih dan sayang antara insan, bukanlah hanya boleh diukur dengan usia, kekayaan dan kecantikan wajah saja.

27 Julai 2009

MANA MILIK KITA ???



Apa yang kita ada? Kereta, syarikat besar, wang ringgit, ilmu, anak-anak yang comel,suami atau isteri, makanan atau seluruh isi dunia... Sebenarnya kita tidak punya apa2. Semua yang kita sangka milik kita hanyalah pinjaman dari Allah semata-mata. Allah telah sediakan untuk kita, dan kita hanya mengusahakan sahaja apa yang telah Allah sediakan..
Ada orang yang sombong bila telah memiliki sesuatu dan merasakan bahawa apa yang dia miliki adalah mutlak miliknya. Namun hakikatnya semuanya sementara. Bila-bila masa Pemilik mutlak yang Agung akan mengambil kepunyaan kita semula tanpa notis atau amaran.
Ada manusia yang sombong memiliki kereta besar, harta melimpah-ruah, kepandaian, kecantikan, kedudukan yang tinggi, namun semua itu tidak terlepas dari bahawa semua Allah jua pemilik yang mutlak.
Gunakanlah apa yang kita ada dengan sebaiknya, dengan bersederhana dan penuh rasa kesyukuran.

Mana milik kita
Tidak ada milik kita
Semua yang ada Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Bumi langit ciptaanNya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaanNya

Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan apa yang telah ada

Mengapa kita sombong memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
kepada Allah yang empunya
Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah

janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit-mengungkit jasa kita
Jasa kita disisiNya
Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur
Bukan Berbangga
Bersyukur kepada Allah

26 Julai 2009

CINTA SELEPAS KAHWIN



Inilah namanya cinta selepas berkahwin. Kenangan terindah. Syukur kepada Allah atas kurniaan cinta ini dan kasih sayang-Mu yang tak terhingga kepada hamba-Mu

22 Julai 2009

RINDU HATI INI


Kalau duduk sorang-sorang mesti macam2 yang terlintas difikiran. Nampak macam termenung, tapi kalau tengok dinding tu seolah2 boleh tembus rumah sebelah. Macam2 yang dirindu. Rindu dengan kehidupan zaman di kampus, rindu dengan mak ayah, rindu dengan sahabat2, rindu pada insan yang bergelar suami (sejak jadi isteri ni la...hehe) dan rindu nak buat aktiviti yang dah lama ditinggalkan.
Perasaan rindu ini boleh buat kita menangis, itulah yang selalu terjadi. Tapi selalunya waktu dok sorang ataupun lepas solat. Hebatnya perasaan rindu yang Allah cipta ini tidak mengira siapa pun, tidak mengira warna kulit, umur, agama dan apa saja.

08 Jun 2009

HATI

Sifat Pemaaf Bersih Hati,Tenangkan Jiwa

KETIKA manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam.

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132).

Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.

Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura, ayat 43).

Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.

Contohnya, bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi. Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.

Kadangkala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.

Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri.

Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Nabi Muhammad bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawab ringkas iaitu ‘jangan marah’.

Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah tetap mengulangi perkataan ‘jangan marah’.

Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?

Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.

Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini selesai.

Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.
Halaqah.net

*************************************************************************************
Dalam perkara yang disebut di atas, kebanyakan yang mengalami masalah hati ini adalah kaum Hawa. Itu adalah hakikatnya. Bukan bermakna kaum Adam tiada masalah hati. Pernah sekali sewaktu ana di sebuah program, ana berjalan bersama Kak Aishah (kini mengajar JQAF di Sarawak). Dalam perjalanan ke tapak khemah, kami bertembung dengan seorang wanita yang boleh digelar kakak. Selepas berselisih, ana bagitau kak Aishah
" Sombongnya orang perempuan tu".
"kenapa pulak fiza cakap macam tu?"
" Ye la, bukan nak senyum dengan kita".
"Fiza ada senyum ke dengan kakak tu tadi?"
"Tak pun."
"Dah tu, jangan la cakap dia sombong, fiza pun tak senyum dengan dia tadi."

Cerita tadi kisah benar. Kesimpulannya manusia ni selalu membuat penilaian mengikut hati sendiri sebelum melihat dan bertanya dengan persekitarannya. Maksudnya selalu membuat telahan, tuduhan kepada seseorang tanpa bertanya dan membuat perbincangan. Kita juga selalu mengatakan sesuatu mengenai seseorang sedangkan apa yang kita perkatakan ada pada diri kita sendiri.